Saturday, August 16, 2008

NISFU SYAABAN

Pada pertengahan bulan Syaaban, marilah kita meluangkan masa untuk
menyambut malam 15 Syaaban dikenali sebagai Nisfu Syaaban dan marilah
bersama-sama menambahkan amalan bagi mendapat keredaan Allah S.W.T. Nisfu
bermakna separuh (1/2).

Bulan Syaaban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan
Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah
datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya:

"Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang menyekutukan (syirik) denganNya sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka
terhadap ibubapa. "

Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan
dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tidak
bertutur dengan saudaranya.

Apabila pada malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya
bersembahyang, beribadat dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman
yang bermaksud: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya,
adakah orang ditimpa bala Aku afiatkannya (selamatkannya). Adakah orang
yang meminta rezeki maka Aku rezekikannya, demikianlah pertanyaan lainNya
sehingga keluar fajar subuh.

Tersebut dalam kitab Al-Barakah: Bahawa jin, burung, binatang-binatang
buas, ikan dilaut berpuasa mereka pada hari Nisfu Syaaban.

Tersebut di dalam Kitab Iqna' : Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada
malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada
Rasulullah s.a.w. kali keduanya katanya: Ya Muhammad! gembirakanlah kamu
bahawa Allah Taala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tidak
menyekutukanNya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan
kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga.

Bahawa malam Nisfu Syaaban adalah hari raya Malaikat, begitu juga pada
malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat
sepanjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhari raya pada siang hari
dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.

Allah akan mengampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban kecuali enam orang:

1. Orang yang kekal minum arak.

2. Orang yang derhaka dua ibubapanya.

3. Orang yang kekal dalam zina.

4. Orang yang banyak berkelahi.

5. Orang yang melakukan perjualan dengan sumpah yang dusta.

6. Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.

Pada malam Nisfu Syaaban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turunkan
kelangit dunia lalu berfirman yang bermaksud: Adakah orang-orang yang
meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta,
maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun maka
Aku ampunkannya, adakah orang bertaubat maka aku Taubatkannya dan
diampunkan bagi sekelian orang mukmin lelaki dan perempuan melainkan orang
yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.

Sabda Nabi s.a.w.: Hai Aisyah! adakah engkau izinkan aku sembahyang pada
malam ini? Jawab Aisyah: Ya, aku izinkan. Lalu Nabi pun bersembahyanglah
sepanjang malam Nisfu Syaaban itu, beliau telah diambil rohnya (mati),
lalu aku (Aisyah) tutupkannya dengan kain, Daku letakankan tanganku di
atas dua tapak kakinya. Maka gembira aku kerana beliau masih bernafas lagi
dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya yang bermaksud:


Aku berlindung dengan kemaafan engkau dari siksa engkau dan aku berlindung
dengan keredaan engkau daripada kehinaan engkau dan aku berlindung dengan
engkau daripada kejahatan yang datang daripada engkau, aku tidak terhingga
memuji engkau sepertimana engkau memuji dari engkau.

Nabi menyuruh Aisyah mengamalkan doa di atas di dalam sujud.

Sesiapa sembahyang pada malam Nisfu Syaaban daripada umat Muhammad s.a.w. terlebih afdal daripadanya ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberi
tahu kepada Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa a.s. pun berdoa kepada Tuhan:
Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w.

Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadat (berbuat amal
kebajikan) iaitu malam Nisfu Syaaban, malam Raya Fitrah yang pertama dan
malam Arafah. Disembunyikan malam Lailatul Qadar kerana ianya adalah malam
rahmat dan penyelamat mereka daripada api neraka, supaya sepanjang malam
Ramadhan atau sepanjang sepuluh yang akhir daripada Ramadhan umat Muhammad berlumba-lumba dalam ibadat dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari Jumaat.

Juez'ere tidak berada di talian

No comments: