Wednesday, July 23, 2014

Ibrah #14 IKIM.fm 21/7/2014

Segmen Ibrah #14 oleh Ustaz Shaari Abd Rahman:

Isu MH17 ini seolah-olah mahu digunakan bagi menjustifikasikan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia, antara Rusia dan Eropah, Ukraine. Tapi kerja kita bukan untuk mengulas isu ini, bukan kerja kita untuk menjadi pelapor lokasi kejadian. Kerja kita di 10 malam terakhir Ramadhan ini ialah berdoa. Doa ialah senjata yang lebih tajam daripada senjata mereka. Dirakamkan dalam Surah Yunus: Ayat 85-86 yang menjadi kompas perbincangan kita:

Ayat 85: Lalu mereka berkata, "Kepada Allah lah kami bertawakal, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan kami (sasaran) fitnah bagi kaum yang zalim,

Ayat 86: dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari orang-orang kafir"

Dan apabila diterjemahkan ke dalam situasi kita sekarang:

"Ya Tuhan kami, jangan jadikan kami Malaysia (negara yang tak berdosa yang tidak ada kepentingan pon dengan negara-negara yang bergolak disana) sasaran peluru dan sasaran pertelagahan mereka. Jangan jadikan kami mangsa orang-orang zalim ini."

Kita tidak tahu siapa yang melakukannya (pembedilan terhadap MH17), tetapi sesiapa pon yang melakukannya adalah zalim. Sebab mereka melakukannya kepada pesawat awam yang mana terdapat penumpang antarabangsa didalamnya. Dan tidak ada sebab untuk mereka melakukannya.

"Ya Allah, bebaskan kami, kawan-kawan kami, negara kami daripada konspirasi dan perancangan orang-orang kafir ini.

Soalan daripada Siti Rohani Surani: Nabi walaupon nabi tetapi tetap seorang manusia biasa, makan dan minum seperti kita, sampai masa dijemput Ilahi meninggal dunia juga. Apakah kekuatan semulajadi yang diberikan Allah kepada Nabi Musa A.S. selain mukjizat Allah untuk menangani permasalahan pada zamannya itu?

Ust Shaari: Sebenarnya Nabi Musa A.S. ini ada kelemahannya dari segi percakapan. Ada dirakamnya dalam 3 ayat bahawa beliau khifah (takut). Ini menyatakan bahawa takut itu juga ada dalam perasaan seorang nabi kerana beliau juga seorang manusia. Kalau beliau seorang malaikat, beliau tidak akan takut. Tapi yang menguatkan Nabi Musa A.S. adalah Nabi Harun, abangnya. Padahal kalau kita lihat ayat-ayat didalam Al Quran, Nabi Harun tidak ditonjolkan sangat pon peranannya. Tetapi sekurang-kurangnya yang menyebabkan Nabi Musa A.S. fasih, berani adalah disebabkan kewujudan abangnya, Nabi Harun A.S. Jangan remehkan peranan orang walaupon dia berdiam diri sahaja. Contohnya dalam organisasi kita, seseorang itu diam saja dalam mesyuarat, siapa tahu dia yang menyebabkan keselatan orang.

Nanti saya akan kongsikan dengan tuan-tuan ada nama-nama besar, yang tidak disebut pun namanya dalam Al Quran, hanya disebut dia ni beriman. Allah tak sebut nama tapi Allah sebut iman dia. Ertinya namanya tak penting, tetapi keimanannya itu yang menjadi isu penting dan menjadi kuat. Pertama, kerana Allah yang menguatkannya dalam bentuk kefasihan lidah dan mukjizat. Kedua, kerana Nabi Harun yang memberinya (Nabi Musa A.S.) kekuatan.



FB Shamsul Ipin: adakah isu MH17 menjadi salah satu tanda akhir zaman yang membawa kepada peperangan kuasa-kuasa besar, dan akhirnya kedatangan Imam Mahdi dan mujahidin bendera hitam?

Mengenai peperangan yang akan berlaku dibanyak lokasi, pertumpahan darah yang begitu banyak, darah menjadi begitu murah, ini memang ada dinyatakan didalam hadis-hadis sahih yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. Tetapi untuk mengaitkan dengan tragedi MH17, wallahu a'lam saya tidak berani mengatakan. Kita tengoklah apa yang akan berlaku didimensi hari-hari yang mendatang. Tetapi yang pastinya ianya ditakdirkan Allah untuk menguji Malaysia buat kali kedua selepas MH370. Tapi yang nampak jelas didepan mata kita betapa nyawa manusia begitu murah penangan manusia-manusia yang ada penyakit didalam hati mereka. Mereka dikalangan teroris dalam erti kata yang sebenarnya. Mereka adalah pejuang-pejuang yang mengganas tanpa menyedari mukabumi ini ada Tuhannya yang menyebabkan mereka tidak boleh terlalu bongkak dan sombong. Yang pasti akhir zaman akan menyaksikan berlakunya peperangan-peperangan yang besar hingga Allah mendatangkan penyelamat seperti Imam Mahdi, Nabi Isa A.S. Tetapi untuk mengaitkan dengan MH17, saya tidak pasti, wallahu a'lam.



Nurbayan Abu Bakar: Bagaimana kita hendak mengaitkan kisah Nabi Musa A.S. ini dengan ujian yang kita hadapi setiap hari?

Ujian yang kita terima pada hari ini pada pandangan saya ialah kita lupa. Kita lupa pada kekuatan sebenar kita iaitu solat berjemaah. Saya kaitkan benda ini kerana saya ingin kaitkan point saya dimana ketika Nabi Musa A.S. berdepan dengan polis pekeliling Fir'aun untuk membunuh anak-anak Bani Israel. Nabi Musa A.S. telah memberikan arahan kepada Bani Israel supaya membangunkan semula solat berjemaah kerana ia sudah diharamkan oleh Fir'aun dan Bani Israel sudah tidak solat berjemaah. Dan inilah wahyu Allah dalam Surah Yunus, ayat 87.

"Wahai Musa, perintahkan kepada kaummu untuk menjadikan rumah-rumah kamu itu sebagai masjid dan ditunaikan solat menghadap qiblat (Masjidil Aqsa)."

Ertinya isunya Nabi Musa A.S. telah diarahkan untuk membangunkan solat berjemaah sebagai kekuatan itu datang. Bani Israel datang dalam keadaan takut. Yang menyebabkan mereka tidak takut ialah solat berjemaah itu sendiri. Maka diarahkan rumah Nabi Musa A.S. dan Nabi Harun A.S. itu sendiri untuk mendirikan solat berjemaah. Inilah yang difahami oleh Nabi Muhammad s.a.w. daripada ayat ini lalu dibangunkan solat berjemaah secara senyap-senyap dirumah Arqam Bin Abi Arqam kerana inilah teras kekuatan kepada seksaan masyarakat Quraisy.

Tuan-tuan lihat Briged Al Qassam ketika ini. Nak masuk briged ini kita tahu ceritanya. Paling kurang ciri nombor 1 lepas. Ciri Nombor 1 yang menyebabkan Allah jemput masuk syurga tanpa hisab iaitu mati syahid dengan mudah adalah solat subuh berjemaah. Bukan zohor, bukan asar bukan isyak tapi subuh. Jika 6 bulan berturut-turut tanpa tinggal satu hari dan setelah disahkan oleh imam, barulah boleh masuk Briged ini. Ini hebatnya Briged Al Qassam yang mempertahankan Palestin sekarang ini. Inilah solat subuh memberikan kekuatan. Inilah sebabnya Allah datangkan bulan Ramadhan dan adakan solat tarawikh sebab Allah nak campakkan rasa sayang kita kepada solat berjemaah dimasjid, di 1 Syawal, 2 Syawal nanti dia ada rasa itu insya Allah.

Zainal Sabuti: Ustaz saya ada terbaca yang Bani Israel pernah dihalau keluar dari Palestin oleh Allah Ta'ala kerna Allah murka dengan sikap mereka, betulkah ustaz?

Betul, memang Bani Israel dihalau kerana kemaksiatan yang dilakukan bilamana diberi kekuasaan. Maka Allah mengharamkan Yahudi untuk kembali ke tanah suci. Yahudi yang original faham akan benda ini. Mereka dipanggil ortodoks. Yang Zionism ini yang tidak faham. Mereka mengasakan satu ideologi iaitu kembalikan negara kami. Pada suatu masa dahulu negara ini milik kami meskipun diatas pertumpahan darah orang-orang Islam. Kalau nak cerita ibrah pasal Bani Israel dihalau dari Palestin mungkin dalam episod ke-24.

FB Zaini Nasir: Ustaz bagaimana kita boleh kaitkan penggunaan media sosial sekarang (FB, twitter, Instagram) dengan kisah dakwah Nabi Ibrahim dan Nabi Musa A.S.?

Nabi Musa A.S. dan Nabi Ibrahim A.S. antara kepintaran mereka adalah mereka pastikan apa mukjizat yang mereka ada itu tidak hanya ditonjolkan dalam istana sahaja (seperti Fir'aun dan Raja Namrud). Mereka mahu mukjizat ini berlaku dihadapan mata masyarakat. Sebagai contoh pada minggu lepas saya ungkapkan ketika Fir'aun menawarkan kepada Musa A.S. untuk 'sihir'nya itu (kata Fir'aun sihir lah) ditelanjangkan dihadapan masyarakat aku, Fir'aun dengan bangganya percaya Musa A.S. akan kalah dengan ahli-ahli sihirnya. Musa A.S. lagi bijak, beliau mencadangkan supaya ia diadakan sewaktu hari raya bagi Sungai Nil dan ia patut diadakan pada waktu pagi dan dihadapan semua ahli masyarakat. Disini kita nak kaitkan betapa pentingnya media-media sosial ini untuk merakamkan kejadian-kejadian yang berlaku disatu lokasi supaya seluruh dunia tahu Allah Ta'ala sedang membantu hamba-hambaNya. Sebagai contoh hari ini bagaimana cepat kita mendengar berita bagaimana jet/drone ababil menjalankan tugasnya dan boleh masuk ke ruang udara Israel tanpa ditembak semula drone yang disokong oleh US. Kita tahu bagaimana Qassam dapat menembusi masuk kedalam ruang udara, mengganggu sistem kapal terbang, menara kawalan, mengganggu sistem televisyen Israel dan menyampaikan pesan dalam bahasa Yahudi. Jadi ini semua peranan media-media sosial yang mewar-warkan. Kita pun tahu sehingga kita mengungkapkan SubhanAllah, Allah sedang membantu hamba-hambaNya diPalestin. Oleh itu kita kena terus berdoa.

Kesimpulan:

Yang terus beriman kepada Nabi Musa A.S. bukan kaum Fir'aun bahkan juga bukan Bani Israel selepas kejadian sihir ini adalah anak-anak muda, pemuda-pemuda belasan tahun. Tak perlu terkejut dengan kenyataan ini, boleh rujuk Surah Yunus, ayat 83. Terjemahan berbunyi:

"Tidaklah beriman daripada Musa A.S. ini kecuali zuriat (para ulama menafsirkan zuriat ini sebagai anak-anak muda) kaum Israel"

Bila turun ayat ini, bersemangatlah Nabi Muhammad s.a.w. mencari anak-anak muda untuk beriman dengannya dan ternyata terbukti, Ali Bin Abi Talib, Ja'far Abi Talib, Zubair Al Awwam, Talhah, Sa'ad Bin Abi Waqqas, Mus'ab Bin Umair, Abdullah Bin Umar. Ini antara mereka yang berumur bawah 20 tahun yang beriman kepada Nabi s.a.w. Maha suci Allah yang menjadikan anak-anak muda, dunia disujudkan dibawah tapak kaki mereka. Maka sebab itu tuan-tuan jangan pandang remeh dengan anak muda. Semaikan iman kepada mereka, maka insya Allah merekalah yang akan menggugat Fir'aun pada zaman ini.

#kuasapemuda