Wednesday, June 5, 2013

Kuliah Maghrib Ustaz Muhadir Hj Joll Masjid Al Falah USJ 9 - 4 Jun 2013

Assalamualaikum semua,
Hari ni kuliah maghrib disampaikan oleh Ustaz Muhadir Hj Joll. Kuliah dimulakan dengan doa dan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti biasa.



Alhamdulillah kita masih dibulan Rejab yang penuh kemuliaan. Malam ini kita bicarakan tentang satu peristiwa  agong yang tidak berlaku kepada nabi dan rasul yang lain melainkan hanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu peristiwa Al-Israk wal Mi'raj. Peristiwa ini menggabungkan dua unsur seterusnya mengIsrakkan kepada 2 alam. Unsur jasad dan unsur ruh. Perjalanan Israk daripada Mekah ke Baitul Muqaddis di Palestin itu namanya perjalanan Israk, perjalanan pada waktu malam dan ia mewakili perjalanan bumi, perjalanan bawah. Bumi itu dibawah namanya alam sufi. Kemudian nabi dinaikkan. Bukan nabi berjalan tetapi diperjalankan sebab tidak mungkin masjid Al-Aqsa itu dipanggil Al Masjidul Aqsa iaitu yang bermaksud masjid yang paling jauh untuk pedagang-pedagang Arab sampai. Lawan lagi jauh Al-Adna. Pergi-balik satu bulan. Perjalanan yang sepatutnya mengambil 1 bulan pergi dan 1 bulan balik itu hanya diambil masa 1  malam oleh nabi s.a.w. Ada mukjizat besar disitu. Jadi dalam hal ini ia dipanggil perjalanan ardi, As-Sahrul Ardi yang mewakili alam bawah, alam sufli.sebab nanti nabi akan naik ke langit ke-2,3,4,5,6,7 terus ke Sidratul Muntaha. Maka itu perjalanan langit As Sahrus Samawi, maka itu dipanggil alam 'Ulwi. Maka segera kita faham manusia itu berasal daripada 2 alam iaitu alam Sufli (alam bawah) dan alam 'Ulwi (alam atas). Ini tidak pelik sebab asal kejadian kita pon daripada alam 'Ulwi. Setiap daripada kita  ini berasal daripada alam arwah (alam lahut). Diketika itu Allah bertanya kepada ruh (waktu itu ruh itu tiada jasad lagi. Ruh ini sangat halus), "Apakah tidak aku ini Tuhan kamu?" maka mereka menjawab, "bahkan kami naik saksi."

Allah jadikan ruh dan manusia itu tujuannya apa? Beribadah kepada Allah. Macam mana nak tahu dia ibadah atau tidak? Allah ujinya, Allah jadikan Al-mauta dan kehidupan yang tujuannya untuk menguji kamu. Alam untuk menguji manusia ialah dibawah, dekat dunia iaitu alam sufli. Kerana itu Allah turunkan kita daripada alam 'Ulwi ke alam Sufli/Mulki. Alam 'Ulwi ni kita tak habis lagi. Alam 'Ulwi yang tertinggi namanya alam Arwah/Lahut. Manusia tidak kenal dengan gelap, dosa, tidak kenal dengan jasad. Turun satu alam lagi namanya alam Jabarut. Di alam itu, manusia itu masih berkeadaan ruh tanpa jasad. Dipakaikan ruh itu dengan pakaian sultan. Maka ketika itu ruh itu dipanggil ruh sultani. Turun ke satu alam lagi namanya alam malakut. Dialam malakut tetap tidak berjasad, tidak berdosa, tidak mengenal pon mana bau busuk. Dosa itu busuk baunya. Tidak kenal najis, maksiat itu najis. Pakaiannya masih bersih namanya pakaian ruhi sebab itu ruh ketika itu dikenal sebagai ruhani. Jadi sampai masanya untuk manusia turun ke alam jasad (alam mulki/alam syahadah/alam boleh melihat) disitulah ruh tadi dimasukkan ke dalam jasad. Jadi ruh itu bila sudah masuk dalam jasad, dia sudah terkongkong dalam jasad, walaupon ianya boleh pergi cepat dan jauh. Kita boleh pergi ke Mekah sekejap saja dalam mimpi dari Subang Jaya. Kalau realiti kita nak ke Jeddah pon kena terbang 16 jam baru sampai. Dalam mimpi sekejap saja kita sudah boleh ke Mekah, sat di Jeddah, sat di Turki, sat ke Jordan dan akhirnya balik ke Subang Jaya lagi. Ini ruh. Sebab itu ruh itu kalau ia boleh melihat dengan pancaindera orbitnya, dalam keadaan sedar, itu dinamakan kasyaf. Ketika ruh itu dalam keadaan tidak sedar (tidur) ia melihat juga, alam diluar sana ia dinamakan mimpi . Kerana itu manusia punyai alam ruh dan alam jasad. Sama yang berlaku seperti peristiwa Israk dan Mi'raj, Allah nak kita lihat bahawa ini alam kita, dan harus kita kembali kepadaNya. Untuk kembali kepada Allah, dia tidak boleh duduk diam, dia mesti berjalan. Berjalan ke mana? Berjalan ke akhirat. Sebab inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (kita ini milik Allah dan kepada Allah kita kembali). Walaupon umur 1000 tahun, tidak ada yang tidak mati, semua akan kembali kepada Allah. Bila kembali kepada Allah, tidak boleh terus diam, dia mesti berjalan. Sebab itu orang sufi mengatakan setiap daripada kita ini adalah orang yang berjalan. Orang yang Salik. Berjalan diatas apa? Berjalan diatas maslat. Dan perbuatan berjalan itu namanya Suluk. Cuma berbeza satu tarekat dari tarekat yang lain. Secara umum kita ini bersaie, berjalan kepada Allah. Sebab itu ada kitab namanya kitab Hidayatus Salikin.

Orang yang berjalan kepada Allah ada 2. Satu, dia berjalan, berjalan dan berjalan dan tidak tahan berjalan kerana godaan nafsu, godaan wanita, godaan dosa dan maksiat.Akhirnya dia berhenti daripada perjalanan kepada Allah itu.  Orang ini salik yang waqif (berhenti). Sayang dia tidak sampai ke penghujung, walhal di penghujung itu ada macam-macam, mutiara, kebahagiaan yang akan didapati olehnya. Kedua, adapon orang yang berjalan ini dia merasa tenang dalam perjalanannya. Dia menghadapi akan kehidupan yang penuh mencabar itu yang cabaran itu datang daripada 3; wanita, takhta dan harta. Dan dia berjalan itu tenang rasa hatinya kerana pedoman daripada gurunya. Maka dia melepasi keadaan itu. Kurniaan itu daripada Allah segera dia bersyukur. Dia tenang seolah-olah diawang-awangan dilangit tetapi dia didunia yang nyata. Orang ini orang yang salik yang thoir (terbang). Orang sebegini yang diajarkan dalam peristiwa Israk dan Mi'raj. Peristiwa Israk Mi'raj ini punya banyak rahsia. Ia bukan sekadar peristiwa nabi s.a.w. berjalan dan naik ke langit dalam satu malam. Ia lebih daripada itu. Kita bukan melihat dari segi zahirnya tapi dari segi batinnya. Ini yang kita peroleh daripada ahli-ahli sufi sebab mereka melihat rahsia itu.

Perjalanan Israk dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa


Seperti orang yang berjalan kepada Allah itu dia perlu melalui 7 maqam. Sepertimana nabi Muhammad s.a.w. perlu melalui 7 lapisan langit . Setiap langit itu mempunyai nabi dan rasulNya dan rahsianya. Sebab itu di langit pertama Nabi Muhammad s.a.w. tidak menjumpai nabi lain selain Nabi Adam a.s. Kenapa tidak diletakkan nabi-nabi lain? Nabi Yusuf boleh, Nabi Ibrahim boleh.. Sebelum itu nabi s.a.w. berjalan dengan siapa? Nabi berjalan dengan Jibril a.s. Sebab itu nak berjalan kepada Allah itu kita mesti ada pendamping sebelum masuk tarekat. Jangan sorang-sorang, jangan tepuk-tepuk buku, jangan baca/muat turun dari internet, FB, twitter saja, kena rujuk pada guru yang ahli dalam bidangnya. Barulah dia boleh memandu kita. Allah kalau nak israkkan nabi seorang diri, boleh, Allah Maha Berkuasa. Tapi ada rahsia besar, kenapa perlu dengan Jibril? Sebab nak berjalan kepada Allah kena ada pendamping, tidak cukup dengan membaca kitab Tasawuf yang akan mengajar kita bagaimana menghindari maksiat zahir, maksiat batin. Bagaimana mengosongkan diri dari sifat mazmumah ini? Perangai-perangai yang tidak elok, taqalli namanya. Kalau setakat dikosongkan, ia tidak berguna juga, dia haruslah dihiasi dengan sifat-sifat yang bagus, yang baik-baik, namanya tahalli. Kerana dengan suci murni dan bersihnya dan keikhlasan, Allah akan kurniakan sifat tajalliNya kepadamu.

Maqam yang pertama dinamakan maqam muhaddis/muhdis iaitu maqam mengenali diri daripada bawah menuju ke atas. Kenapa sedemikian maqam yang pertama ini berkenaan ini? Sebab Nabi Adam itu disebut Abul Basyar (bapa kepada Manusia). Manusia yang pertama sekali diciptakan oleh Allah ialah Nabi Adam A.S. Kerana manusia itu dijadikan daripada tanah. Setiap kamu itu daripada Adam, dan Adam itu daripada tanah. Tanah itu berasal daripada Alam 'Ulwi ka Sufli? Alam Sufli. Nabi Muhammad s.a.w. diperkenalkan dahulu dengan Nabi Adam a.s. sebagai yang pertama dikalangan manusia. Baginda adalah manusia bukan malaikat. Seolah-olah diberi isyarat bahawa hendak berjalan kepada Allah, kita mesti mengenal dahulu tangga yang pertama, kenal dulu dirimu sebagaimana diperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Adam sebagai yang pertama dikalangan manusia. Rahsia daripada langit pertama ialah, manusia harus mengenali asal diri. Manusia dijadikan Allah dengan pelbagai kurniaan, kehebatan, keupayaan, sampai tercengang manusia itu melihat padanya ada kepandaian, kecantikan, keindahan, kepetahan, kemahiran, kekuatan. Makak tercengang manusia, lalu bertanya siapa yang menjadikan semua ini? Dari mana datang semua ini? Apa tujuanku? Hendak kemana aku ini? Kemudian datang lagi persoalan, siapa yang menjadikan kamu? Akhirnya datang petunjuk Ilahi melalui para nabi, Rasul dan kitab-kitab mengajar kita kamu (insan) dijadikan Allah daripada setitis air mani yang hina. Kamu tidak berbadan diberi badan, tidak bertangan diberi Allah, kamu dulu tidak berpakaian, Allah tutup dengan pakaian, tidak pandai diberi kepandaian, kecerdikan dan kebijaksanaan oleh Allah, Allah cerdikkan. Keseluruhannya dibagi oleh Allah. Walhal kita dahulu tidak ada apa-apa, semuanya diberi Allah. Maka kita kenal kita ini fakir, kita ini miskin, kita ini daif, kita ini hina. Muka yang dipuji-puji orang ini nanti ketika sujud dimana kita sembah kalau tidak diletak muka yang cantik dan lawa ini diatas karpet yang sudah berusia 30 tahun. Sanggup kita letakkan muka yang mulia ini dibawah daripada punggung yang mengandungi najis (minta maaf sebut) diatas karpet yang sudah lama dan usang sebab kita menyembah Allah. Tidak dengan karpet yang tebal seperti dipejabat yang mewah itu. Kalau boss kita mungkin dia pakai karpet tebal dan lembut sebab maqam kita dengan boss berbeza. Begitu juga antara kita dengan Allah. Maqam kita maqam makhluk, maqam Allah ialah maqam Khalik. Sedar kita ini tiada apa-apa, hina, tiada kuasa. Kalau Allah nak cabut kepandaian kita sekejap saja, bagi eksiden papp! terus mental disorder ka... Kita yang hebat sangat tadi, baru eksiden sat saja sudah tidak berdaya. Kata Sheikh Nuruddin, Allah itu tidak ada walaupun bunga-bunga tidur, apatah lagi tidur. Orang dulu (para anbiak & rasul, sahabat) sikit saja tidur, kita sikit-sikit tidur. Mereka juga makan sikit, kita pulak sikit-sikit  makan. Kita ini lemah. Bila kita kenal kita lemah, kita kenal Allah yang Maha Berkuasa. Ketika itulah disebut, siapa yang kenal dirinya, maka dia kenal akan Tuhannya. Tuan-tuan, sapa berani dok depan kat mimbar ni? Sapa pon tak berani (siap bertolak-tolak kalau disuruh) sebab kita makmum bukan imam. Dan sebab kita tau maqam kita. Kita tau kita tak banyak ilmu jadi kita pun tak berani nak jadi imam. Bila kita tau maqam kita, kita kenal diri kita. Bila orang tak tau maqam,dia tak tau dirinya sebab itu dia melawan Tuhan. Oleh itu, ketahuilah kita sekarang maqam pertama yang harus kita ketahui dan pelajari ialah kenali diri.

Kemudian nabi s.a.w. naik langit ke-2, jumpa dengan Nabi Isa a.s. Nabi Isa itu maqamnya maqam arwah (ruh) sebab Allah kurniakan baginda dengan Ruhul Qudus. Ada mak, tak dak ayah, ruh saja, jadi manusia. Nabi Isa dikurniakan Allah boleh menghidupkan orang mati dengan ruh. Allah pernah mukjizatkan baginda dengan segumpal tanah, buat lagu mana tak tau, jadi burung. Burung itu dihidupkan dengan ruh. Nabi Isa juga dinaik kelangit, nak naik kena ringan, baginda diringankan jasad dan ruh menjadi halus bukan dikecikkan menjadi timbangan kepada alam langit. Tadi maqam pertama kita kenal diri kita mai daripada Allah, sekarang dimaqam kedua, maqam ruh, kita kenal siapa yang gerakkan kita, siapa yang diamkan kita, siapa yang beri kekuatan pegang tasbih ditangan dan angkat tangan untuk takbiratul ihram?  Siapa yang gerakkan gigi dan lidah ketika baca Surah Al Fatihah. Semua ini mai dengan kurniaan ruh. Orang yang mati macam mana nak dia nak baca Quran? Orang yang mati itu tidak bercakap. Orang yang hidup itu bercakap, bermunajat kepada Allah. Ruh itu datang daripada siapa? Ruh it adalah urusan Tuhanku. Ruh itu adalah suatu urusan yang suci datang daripada Allah. Asal kejadian manusia dahulu, Allah katakan, "lalu Aku tiupkan padanya ruh". Kerana itu kita sedar bahawa kita digerakkan oleh ruh. Dan ruh itu daripada siapa? Allah. Maka hakikat yang menggerakkan dan memperjalankan kita ialah Allah. Sehingga itu kita jangan mendakwa aku boleh sembahyang 100 rakaat kerana diriku. Itu maksudnya kita masih lagi diperangkap oleh ainul azhar (perasan) kerana kita rasa kira kuat maka sebab itu kita boleh buat, kita pandai sebab itu kita boleh berucap, kita ada ilmu, kita yang boleh buat tomyam. Semuanya sebenarnya datang daripada Allah. Bila kita sudah makrifah kepada Allah maka kita akan menjadi fana. Semua yang ada bukan daripada dirinya dan dia melihat melalui ainul maujud (semuanya Allah). Maka dia mengakui dia tidak ada apa-apa. Orang seperti ini sudah naik maqam yang kedua. Nabi Isa juga adalah nabi yang paling faqir. Faqir bukan bermaksud faqir hina, tidak. Maqam faqir ini adalah yang ditunggu oleh ahli tauhid sebab faqir dieja dengan 4 huruf jawi (fa, qaf, ya, ra). Fa maksudnya fana, dia tidak melihat akan kuasa dirinya melainkan kuasa Allah. Qaf maksudnya qana'ah bermakna cukup dengan apa yang ada, tidak jeles dengan kurniaan Allah pada orang lain. Contohnya merasa cukup dengan rezeki yang ada sekarang, Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada sekarang saya boleh ke masjid. Mana tau nanti bila rezeki lebih dah tak nampak dah batang hidung kita ke masjid. Syukur alhamdulillah. Ya bermaksud yardahullah (Allah redha padanya). Ra maksudnya ridwanullah (dia redha kepada Allah).

Langit yang ke-3, nabi berjumpa dengan nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf itu maqamnya Jamalullah (kecantikan Allah). Nabi Yusuf ini cantik. Perempuan ketika lihat nabi Yusuf ini mereka telah menghiris dengan kuat buah hingga jari-jari mereka hinga terputus. Kecintaan pada seseorang itu hingga membuatkan kamu buta dan tuli. Mereka berkata ini bukan manusia, melainkan malaikat yang mulia. Setiap satu yang cantik dan indah itu, Allah mentajallikan kecantikannya. Sesuatu yang cantik itu dipanggil Jamalullah. Manakala untuk indah dan mulianya dipanggil Kamalullah kerana lengkap padanya kemuliaannya itu kerana Qudrat dan IradatNya Allah menjadikan orang dan bunga itu cantik, bau itu harum. Apa kaitan ini semua dengan maqam tadi? Bila kita tau kita ini lemah, yang menggerakkan ini semua Allah, namun nafsu kita ini lawwamah. Masih lagi rasa kebinatangan, maka ia busuk, tidak cantik, tidak elok. maka perelokkanlah ia. Allah Maha Memperelokkan. Ya Allah elokkanlah nafsu kami, akhlak kami malah akidah kami, muamalat kami. Hiasilah dan cantikkanlah diri kami dengan ilmu, kerana dengan ilmu barulah kita mengetahui. Cantikkan kami ini dengan rouf (saling memafkan). Beri kami makrifat, mandat, etc....

Yang ke-4, Nabi berjumpa nabi Idris a.s. Maqam ini dinamakan maqam fana dan jannah. Maqam fana maksud mati melembutkan diri, Allah pernah merasakan kepada nabi Idris itu kematian dan baginda pernah naik ke langit dan masuk ke syurga Allah. Maqam ini maksudnya orang yang sudah memperelokkan makrifahnya kepada Allah, Jamal tadi maka dia bila sudah indah, dia tau semua itu Allah punya maka dia tidak punya apa-apa. Seolah-olah dia ini telah mematikan nafsu amarah dan lawwamahnya. Orang yang berjalan kepada Allah mesti mati dulu nafsu ini. Sesungguh nafsu amarah itu selalu membawa kepada yang tidak baik kecuali apa yang dirahmatkan oleh Allah. Nafsu paling bawah amarah namanya cenderung kepada bathil iaitu hasad dengan orang lain, zalim dengan orang lain, tidak bersyukur kepada Allah, ada sifat kebinatangannya, kekuasaan didalamnya buang semua ini. Nafsu lawwamah, dia cenderung kepada berbuat tidak baik, mengumpat orang, mengaibkan orang, fitnah orang. Sembahyang dia rasa bersalah tapi esok dia tak sembahyang lagi. Matikan dia. Nak matikan semua ini kena ada ilmu dan guru yang alim untuk bantu mematikannya. Sebab bila ada simptom ini, guru akan tau. Jalann sufi sahaja yang boleh membantu mematikan ini, takdak jalan lain tapi kena berguru yang alim dalam bidang ini. Bila terbelenggu dengan nafsu ini dia susah nak makrifah dengan Allah. Tak solat subuh pi kerja dia tak rasa apa. Mengumpat orang dia relaks ja. Sebab itu nabi sebut, "hendaklah kamu mati sebelum kamu mati". bukan mati betoi-betoi, tapi mati maknawi. "Siapa yang nak lihat mayat berjalan diatas mukabumi ini, lihatlah orang yang bersedekah/berinfak.k Siapa yang sanggup bagi keseluruhan hartanya kejalan islam. Saidina Abu Bakar pernah bagi 80,000 dinar yang bersamaan berapa juta dalam duit kita kejalan Islam. SAidin atidak harta itu sebagai menyenangkannya, yang menyenangkannya ialah Allah. Beliau sanggup tanggung risiko ketika masuk ke Gua Tsur, dan membiarkan dirinya digigit kala jengking kerana sayangkan Rasulullah s.a.w. kerana beliau tahu yang mematikan bukan kala jengking tetapi Allah. Sebenarnya ulama menyatakan bahawa kala jengking tersebut pada waktu itu hendak sangat lihat wajah Rasulullah s.a.w. tetapi kerana ditutupi batu, dan Saidina Abu Bakar r.a. ia menyepit kaki beliau supaya beliau mengubah kakinya dan dapat ia melihat nabi s.a.w. Kala jengking ini nak lihat wajah nabi s.a.w. kita patunya lebih-lebih lagi nak. Oleh itu kalau nak lihat wajah nabi, ketika disebut nama Nabi, jangan berat mulut hendak mengatakan salallahu 'alaihi wasallam.

Dan kita terus ke langit yang ke-5. Disini nabi s.a.w. berjumpa dengan nabi Harun a.s. Ini namanya maqam mahabbah (cinta) sebab nabi Harun sangat dicintai oleh kaumnya kerana kepetahannya bercakap berbanding Nabi Musa a.s. Nabi Musa bulan tak boleh bercakap tetapi berbanding nabi Harun, nabi Harun lebih lancar. Maka kita nak sampai kepada Allah kena sampai ke maqam cinta. Cinta itu lebih tinggi daripada khauf dan roja'. Khauf itu ialah takut. Takut masuk neraka jika berbuat sesuatu kejahatan. Dan roja' maksudnya harap. bila berbuat sesuatu kebaikan, kita berharap dapat masuk syurga. Rabi'atul Adawiyah pernah bertanya dikalangan ahli sufi, jika tiada syurga atau neraka, apakah kamu akan berbuat taat kepada Allah? Ketika mereka tergamam. Katanya lagi, sebab pekerjaanmu itu menuntut akan syurga, menghindar akan neraka. Bermakna kamu semua masih dimaqam makhluk (seperti kita lah), Maka kata Rabi'atul Adawiyah kepada ahli sufi tersebut, kamu adalah syirik (tafsiran untuk maqam ahli sufi) kerana berhajatkan kepada sesuatu. Beramal kerana hendakkan pahala itu makhluk bukan berkehendakkan kepada Allah.Tapi tolong jangan silap faham wahai para pembaca ini maqam ahli sufi. Kita ini masih lemah belum lagi sampai ke tahap ini. Maqam mahabbah/cinta ini, bila sudah cinta kita sanggup lakukan apa saja. Seperti kita bercinta, janji pukul 9, pukul 7 dah sampai. Lautan api sanggup direnangi. Oleh itu untuk sampai ketahap mahabbah ini, kita kena mengaji Sifat 20 sedalam-dalamnya dengan af'alnya, dengat ZatNya dan perlu belajar dengan yang alim tentang ini.

Seterusnya dilangit yang ke-6m nabi s.a.w. berjumpa dengan Nabi Musa a.s. Nabi Musa itu isyarat kepada maqam munajat. Orang yang bermunajat kepada Allah tanda menghambakan diri kepada Allah. Orang yang solat, terus bangun tidak berwirid atau berdoa itu orang yang sombong. Riwayat mengatakan lepas solat, hendaklah kita jangan lupa membaca rabbana atina fidduni hasanatau wa qina 'azhaban nar. Ini maqam munajat itu maqam penghambaan diri kepada Allah. Serah diri kepada Allah. Allah yang menetukan, Allah yang menjanjikan, Allah yang memberi, Allah yang tahu, Allah yang memutuskan sehingga kita rasa lebur diri kita, takdak apa.Walaupon kita dah buat canttik dah ni, takut-takut kamu suka sesuatu tapi ia tidak bagus untuk kamu. Ataupun kamu tak suka sesuatu tapi ia bagus untuk kamu. Bermunajatlah kepada Allah seperti bermunajatnya Nabi Musa a.s.

Yang terakhir, nabi berjumpa dengan nabi Ibrahim a.s. di langit yang ke-7. Nabi Ibrahim itu orang paling bertauhid kepada Allah. Sebab itu maqam ini namanya maqam tauhid. Selepas maqam ini takdak apa dah. itu namanya maqam ma'rifah (kenal Allah). Nanti Allah akan bagi buah-buahNya kepada orang yang kenal akan Allah. BuahNya ialah mukasyafah (terbuka kasyaf). Musyahadah, maka dia akan memandang Allah dalam pandangannya. Ini hanya didapati kepada orang yang merasanya. Itu namanya syuhud. Akhirnya ainul azharnya akan luput. Dan hanya akan tinggal ainul maujud. Dia sudah sampai kepada tauhidNya, wehdatul af'al (semuanya perlakuan kerana Allah), wehdatul sifat (maka sesuatu terjadi kerana sifat Allah), wehdatul zam (yang hakiki itu Allah). kita kalau lihat air minuman, kita akan kata Alhamdulillah syukur dengan ni'mat. Orang yang tauhidnya kepada kepada af'al, sifat, dia akan lihat siapa yang bagi air ini? Siapa yang yang datangkan air ini? Siapa yang jernihkan air ini? Kalau tidak Allah. Masya Allah orang yang sudah maqamnya tinggi, dilihatnya akan sifat, dia bukan melihat air lagi.Dilihatnya sifat rahmat Allah yang beri air ini. Allah bagi air ini plain, kenapa tidak rasa garam, kenapa tidak rasa pahit? Ini adalah kerana kasih sayang Allah. Air itu rasa apa pon dia bersyukur kerana dia mendapat kasih sayang Allah. Ini maqamnya Tauhid.

Sekian




2 comments:

ilmu,amal,ikhlas,istiqomah said...

Ada coretan "membetulkan tanggapan mlm nisf syaban"?????
> Syeikh Muhadir Haji Joll<

Tea Dean said...

Oh... saya ada beli buku USt MUhadir Hj Joll bertajuk Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya. Mungkin ada dalam tu, insya Allah ada kot. Nanti saya cuba tengokkan. Atau pon dalam buku Khilafiah Persoalan dan Penjelasan juga oleh Ust Muhadir Hj Joll.

boleh tgk sini buku Kekeliruan Umat:http://bukuislamikdiskaun.blogspot.com/2014/05/kekeliruan-umat-inilah-jawapannya.html

Buku Persoalan dan Penjelasan kat sini:
http://inteammobile.com/v2/index.php?route=product/product&product_id=334