Monday, February 3, 2020

Sirah Catitan Untuk Bapak Dari Aku

Jumaat, 18 Jun 2004 
(Sajak ini aku tulis sempena Hari Bapa pada tahun 2004)

Aku korek kembali coretan-coretanku dimasa dulu. Aku memang suka menulis sajak seperti bapak. Aku pun sudah lupa aku pernah menulis sajak ini untuk bapak... Mujur aku pernah pos sajak ini online, maka mudah dicari. 
Al Fatihah untuk bapak yang kembalinya arwah ke kampung barzakh pada tanggal 22 Januari 2020. Setelah 8 tahun berjuang diatas katil dengan penyakit strok dan pelbagai dugaan, akhirnya perginya pintu rahmat kami yang satu ini. Semoga kami dapat berbakti kepada bapak selagi hayat kami masih ada. 

Hidup bapak tidak mudah dari kecil, arwah merupakan anak yatim piatu. Ibunya kembali ke rahmatullah semasa umur bapak masih beberapa bulan kalau tidak silap. Kemudian bapanya pula menyusul sekitar umur kurang dari 11 tahun. Arwah dibesarkan oleh kakak, kakak sepupu, abang dan ramai lagi dan berpindah-randah dari rumah ke rumah. Kasihan bapak... Semakin membesar bapak berminat menjadi wartawan, satu cita-cita yang jarang didengari semasa zaman itu, maka bertambah lagi cabaran yang mendatang. Coretan cabaran itu telah dijilidkan menjadi Autobiografi Seorang Wartawan: Dari Kodiang Ke Jalan RIong terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka. 



Ada untaian putih disitu...
Disana...
Disini...
Dicelah untaian-untaian hitam
Yang tak lagi lebat
"Tolong bapak cabut uban ni.."Biar dicabut, ia tetap bercambah
Dari hari ke hari...
Sudah tua rupanya bapak

Melihatkan wajahnya
Membawaku ke masa-masa dulu
Banyak mimpinya hilang
Sepanjang perjalanan hidupku
Hanya kerana kasih sayang
Kerana anak
Kerana aku

Sekali dalam hidup ini berlaku...

Dulu
Bapaklah yang menimangku
Dulu
Bapaklah yang menghantarku ke sekolah
Dulu
Bapaklah yang memberiku duit sekolah
Dulu
Bapaklah yang selalu memberiku semangat

Walau aku mendapat keputusan tercorot sekali di dalam kelas
Walau aku pernah gagal berkali-kali
Kata bapak,
"Ala dapat gred F saja...bukan tak boleh naik lagi"
"A dengan F bukan jauh sangat...A, B, C, D, E, F"

"Cuma selang 4 huruf saja"Katanya membangkitkan semangat juangku
Aku kagum...
Walau tak pernah kunyatakan
Kepadanya
Bapak ambil SPM 8 kali
Bapak ambil STPM 4 kali
Bapak kuat
Bapak hebat
Kalau aku mungkin menangis berkali-kali

Di depan bapak...
Aku selalu cakap
Takkan jadi seperti bapak
Suatu hari nanti
Namun...
Ke mana tumpahnya kuah
Kalau tak ke nasi
Tanpaku sedari aku juga meminati seni
Aku ego...
Aku akui...
Di depan bapak
Aku selalu membantah cakapnya
Tapi di belakang bapak
Aku ikut jejak langkahnya
Mungkin inilah yang dipanggil perhubungan kimia

Bapak
Selalu membaca
Bapak banyak idea-idea bernas
Kadang-kadang
Bila aku meinta pendapat bapak
Ideanya sentiasa menjangkaui masa....

Bapak oh Bapak!

-LayarLara-

No comments: