Wednesday, April 3, 2013

Tafsirul Quran: Surah Al Kahfi

Assalamualaikum semua,



Diharap semuanya sihat dan dirahmati Allah selalu. Hari ini saya ingin menulis mengenai ceramah yang dengar melalui Youtube oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid di Masjid Darul Ehsan, USJ pada 7 Februari 2013 lepas. Saya pilih kuliah ini kerana saya sangat meminati sejarah disebalik Surah Al Kahfi. Semenjak pencarian saya mengenai Yakjuj dan Makjuj beberapa tahun dulu. Kerana surah inilah saya mengenali banyak alim ulama dari seantero dunia :)

Ok, saya terpanggil menulis setelah mendapat pengajaran daripada Allah :) Saya berazam di tahun 2013 ini saya akan berkongsi ilmu yang saya dapati dari mana-mana majalis ilmu yang saya hadiri. Namun kemalasan menguasai diri, lalu ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah maghrib yang saya hadiri menjadi hanya sekadar rekod dalam telefon bimbit saya. Tetapi suatu hari telefon ini tidak berfungsi seperti kebiasaannya yang menyebabkan saya terpaksa 'reset' kepada 'factory setting. Lalu hilanglah *tringg* semua ceramah-ceramah yang direkodkan itu. Memang terbaekk broo!! LOL

Sudahlah membebel, marilah kita lihat apakah intipati tafsir Quran oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid ini. Habib Ali memulai kelas dengan doa. 

Dalam satu minggu ada beberapa surat yang disunatkan kita membacanya, diantaranya surat Al Kahfi, surat Yasin, Al Waqiah, Ad Dukhan, As Sajadah, Al Munafiqun, Ar Rahman dan Al Mulk serta banyak lagi. 

Didalam Al Quran ada 114 surat dan setiap surat itu disusun letaknya oleh baginda Rasulullah S.A.W. walaupon penyusunan Al Quran itu berlaku selepas wafatnya nabi S.A.W. Al Quran tidak disusun semasa zaman nabi S.A.W. Maksud disusun itu iaitu surat disusun dari Surat Al Fatihah hingga akhir menjadi satu kitab Al Quran atau buku sepertimana kita lihat pada hari ini. Yang pertama menyusun Al Quran ini ialah Saidina Abu Bakar As Siddiq R.A. Tidak disusun Al Quran di zaman Rasulullah S.A.W kerana ayat yang turun di Madinah diletak di surat yang diturun di Mekah dan tidak diikuti bila diturunkan. Contoh mudah ialah Surat Iqra', ia adalah ayat pertama diturun, tetapi diletak dihujung sekali, dijuzuk 30. Tidak diletakkan diawal. Justeru Al Fatihah yang dikatakan di Mekah, tetapi sebahagiannya mengatakan di Madinah selepas Israk Mi'raj diletakkan diawal padahal selepas beberapa tahun. Surat pertama turun Iqra', surat kedua turun Al Muzammil, lepas tu surat Al Mudassir, tetapi letaknya berada diakhir. Disebabkan kerana yang meletakkan surat dimana itu ialah Allah S.W.T melalui Jibril kepada baginda Rasulullah. Oleh itu peletakkan surat itu bukanlah ditentukan atau diletakkan oleh sahabat. Al Quran tidak disusun seperti mushaf sekarang ini sebab baginda Rasulullah S.A.W. menunggu izin daripada Allah melalui Jibril sampai bila ia dibolehkan disusun oleh baginda Rasulullah S.A.W. seperti yang ada dengan kita sekarang ini. Izin itu didapati pada penghujung usia nabi S.A.W. yang ke 63 tahun di bulan Ramadhan ketika mana baginda bertadarus dengan Jibril satu hari 2 kali, sebelumnya sekali saja.  

"Takutlah kamu suatu hari kamu akan dikembalikan kepada Allah. Masing-masing akan ditunaikan ganjarannya/pembalasannya sesuai dengan apa yang dia lakukan/perbuat" Itu ayat yang terakhir turun kepada Rasulullah S.A.W. Bukan sebagaimana yang dikatakan sebahagian ulama, ayat yang terakhir turun itu adalah ayat "Hari ini kusempurnakan untuk kamu agamamu, aku sempurankan nikmatmu padamu, dan aku redha Islam sebagai agamamu" Ayat itu turun masa nabi buat Hajjatul Wada' di Padang Arafah setelah khutbah di bulan Zulhijjah. Tapi ayat yang terakhir turun itu turun setelah nabi kembali ke kota Madinah sebelum nabi sakit. Surat An Nasr turun diMina, setelah ke Madinah, nabi pergi ke Mina. Kata Saidina Abdullah Bin Abbas, Surat An Nasr itu turun sebagai ucapan takziah daripada Allah kepada nabi dan muslimin kerana pada waktu itu ramai orang telah masuk Islam dan tugas nabi sudah selesai. Kalau tugas nabi selesai, nabi harus kembali kepada Allah. Terakhir ayat ini diturun, dipesan oleh nabi untuk diletakkan didalam surat An Nisa. 

Surat yang akan dibaca kita baca ialah surat Al Kahfi. Surat itu diberi nama Al Kahfi kerana didalamnya itu mengandungi kisah tentang Ashabul Kahfi. Bermakna setiap nama yang diberikan ada kaitan dengan isi kandungan surat. Demikian juga seseorang itu kenapa digalakkan memberi nama yang baik? Disebabkan harapan dengan nama yang baik itu mengalir apa yang baik dari nama yang baik itu. Ini adalah supaya dengan makna nama yang baik akan mengalir sesuatu yang baik didalam diri seseorang. Begitulah sebaliknya dengan nama yang tidak baik. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W. suka kepada meletakkan nama yang baik kepada perkara yang baik juga kepada perkara yang tidak supaya perkara yang tidak baik itu berubah menjadi baik.

Suatu hari nabi S.A.W. hendak berehat daripada suatu perjalanan, lalu ditanya kepada sahabat apa nama tempat berehat itu, lalu diberitahu namanya. Ternyata maksud nama tempat itu tidak baik, lalu nabi S.A.W. mengarahkan supaya meneruskan perjalanan. Sampai ditempat berehat seterusnya, baginda bertanya lagi. Lalu diberitahu namanya dan maksudnya baik, baru baginda berhenti dan berehat disitu.

Kisah kedua, Nabi S.A.W. memanggil seseorang untuk menuang susu dicawannya, kemudian baginda bertanya kepada si fulan akan namanya. Ternyata namanya kurang elok, lalu baginda meminta orang lain untuk menuangkan minumannya. Si fulan yang datang kemudian juga namanya tidak baik, diminta tukar lagi. Sampai ada seorang yang bernama Yaish ertinya hidup barulah dipersetujui orang itu untuk menuangkan susu kepada baginda S.A.W.

Akan Bersambung..

No comments: