Sunday, July 26, 2009

Muhasabah cinta....

Buat kesekian kalinya kita dikejutkan dengan kematian insan seni yang terkenal untuk tahun 2009, Mikaeel Jackson, Farah Fawcett, dan hari ini Kak Yasmin Ahmad. Sekarang kita bernafas, sekejap lagi, 1 saat lagi, 7 minit lagi, 2 jam lagi, 3 hari, 8 minggu lagi, 9 bulan lagi, 4 tahun lagi mungkin kita pula yang akan mengadap Ilahi. Kita selalu fikir, benda yang terjadi kat orang lain takkan jadi kat kita dan tidak muhasabah diri.... Aku juga.... contohnya seperti sakit, terkena sihir, kemalangan, kecurian, ragut, peperangan, kematian dan sebagainya. Maka, kita tidak pernah bersedia dan berterima kasih kepada Allah.

Kita meremehkan solat, meninggalkan solat lalu Allah jua meremehkan kita. Walaupunbegitu Allah tidak pernah meninggalkan kita. Walaupun selama ini, kita solat lambat, cara solat kita salah, namun Allah tetap mengabulkan doa kita. Namun tetap kita tidak berterima kasih. Pernahkah kita jumpa ustaz atau tok imam yng bertauliah dan bertanyakan adakah solat yang kita lakukan selama ini betul? Atau punya inisiatif sendiri, pergi beli buku dan baca supaya solat kita sempurna. Itu belum tengok lagi kat cara-cara ambil wuduk. Astagfirullah al 'azim.... Jangan kerana kita sudah menjadi muslim sejak lahir kerana kedua-dua ibubapa kita muslim dan kita dah belajar dari tadika tentang agama Islam, kita rasa ilmu kita dah cukup. Iman itu meningkat apabila kita ada ilmu. Dan sebab itu jugalah kita gagal sebab kita malas cari ilmu. Baru ajak sambung belajar, jawapannya oh! takpalah aku dah tua dah tak boleh masuk dah.... sebenarnya malas! Nak baca buku sendiri apatah lagi! Selagi kita punya otak yang waras, pergunakanlah sebaiknya jangan malas, nanti Tuhan ambik balik baru tau...

Banyak orang termasuk aku bukan faham pun sebab apa kita solat. Ada banyak orang solat sebab solat itu wajib, sebab dia seorang Muslim, orang lain buat itu pasal dia pun buat, kalau dia tak buat nanti mak ayah marah, malu sebab kalau tak buat apa orang lain kata, maka sebab itulah solatnya itu sebagai memenuhi syarat saja, senaman saja. Itu pasal, lepas solat saja terus kita melompat bangun, doa pun tidak apatah lagi wirid. Nak faham Al-Fatihah lagi-lagi laa... Alasannya tak tau bahasa Arab. Tak tau bukannya tak boleh belajar, benda lain boleh belajar pulak. Bila kita faham, apa yang kita baca baru khusyuk solat kita. Bila khusyuk barulah kita dapat terapkan nilai-nilai solat tu dalam kehidupan seharian untuk menjalani ujian-ujian Allah dengan tenang dalam keadaan berterima kasih.

Adakah kita pernah terfikir apa sebab kita solat itu? Untuk berterima kasih kat Allah kerana bagi peluang kita tengok dunia ni, merasa dunia ini, dan kerana kita sayang kat Allah. Kalau kita sayang kat orang dan binatang peliharaan, macam mana kita buat? Sanggup kita buat apa saja kan... Macam tulah kita patut buat kat Allah. Allah lagi kasih dan sayang dari manusia atau pun binatang.

Ingatlah macam mana cantik pun kita, macam mana bijak pun kita, suatu hari nanti kita akan balik kepada Allah suka atau pun tidak. Kita semua adalah roh yang dimasukkan ke dalam jasad yang dipinjamkan Allah kepada kita. Roh ka, jasad ka, semua Allah yang punya. Terima kasih jua kat Nabi Muhammad s.a.w. kerana bersusah payah menyampaikan Islam kat kita semua. Kita dok baca buku pasal Thomas Edison la, Donald Trumph la, kaji kisah hidup Micheal Jackson la, adakah kita pernah kaji kisah hidup Rasulullah dan para sahabatnya? Soalan ini diajukan oleh Ustaz Zahazan dalam Tafsir Quran pukul 6.30am kata radio IKIM.fm. Aku pun terkesima jugak dengar soalan tu. Dalam hidup kita diberi dua pilihan untuk meminta diberi hidayah agar dapat jalan yang lurus ataupun untuk hanyut dalam kehidupan dan menjadi kafir. Apa pun pilihan kita, dua-dua ada ujian dan ganjaran.


No comments: