Monday, March 16, 2009

Pelajar SPM Cemerlang 2009: Nik Nor Madihah 19A1,1A2! Tahniah!


Utusan Online 14 Mac 2009.
Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.
Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti. Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Resipi kejayaan Madihah dapat 20A
KETIKA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan jurugambar, HAFIZ JOHARI menemui Nik Nur Madihah di rumah keluarganya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.
Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.
UTUSAN MALAYSIA:

Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?
NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain.
Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?
Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal.
Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?
Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.
Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan.
Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?
Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?
Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.
Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.
Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 - RM700 sebulan.
Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?
Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?
Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.
Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?
Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana.
Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?
Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal.
Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?
Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?
Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

Apakah hobi dan cita-cita saudari?
Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

Di mana mahu melanjutkan pelajaran?
Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah.

No comments: